Posts

BAB SATU

Kanak-kanak yang Terselamat daripada Maut Encik Dursley dan Puan Dursley yang tinggal di nombor empat, Privet Drive, bangga mengatakan bahawa mereka normal. Jika menyentuh perkara-perkara yang aneh atau misteri, mereka yang paling akhir boleh dilibatkan kerana mereka tidak percaya langsung akan perkara-perkara karut seperti itu. Encik Dursley merupakan pengarah syarikat Grunnings, sebuah syarikat pembuat gerudi. Dia seorang yang berbadan besar dan gemuk, dengan leher yang hampir tidak kelihatan, serta bermisai tebal. Puan Dursley pula kurus dan berambut perang. Lehernya yang agak panjang, hampir dua kali kepanjangan biasa, amat berguna untuk meninjau-ninjau jiran tetangga dari pagar rumahnya. Mereka ada seorang anak lelaki bernama Dudley, yang pada pendapat mereka, merupakan kanak-kanak yang paling baik dan tiada tandingannya. Keluarga Dursley memiliki segala-galanya yang diinginkan. Namun, mereka juga menyimpan rahsia, dan perkara yang paling ditakuti oleh mereka, rahsia mereka ini